Adakah manusia hari ini begitu sombong, angkuh dan hanya pentingkan diri saja?
Kita tak perlu tengok orang lain. Cuba renung dan nilaikan diri sendiri. Sejauh manakah yang kita telah amalkan adab-adab ini?
1.Sentiasa berusaha mewujudkan suasana yang harmoni ,aman, tenteram, sejahtera dan ceria dalam kehidupan berjiran. Faktor inilah juga yang menyebabkan Rasulullah S.A.W menyatakan bahawa antara rukun-rukun kebahagiaan ialah ‘jiran yang baik’.
2. Tidak menyakiti mereka samada melalui perkataan, perbuatan atau sekadar sangkaan buruk.Jiran yang jahat dan tidak berakhlak digambarkan sebagai lembaga hitam yang telah dirasuk syaitan sehingga tergamak melakukan kejahatan dan kedurjanaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kegerunan kepada insan lain.
Rasul SAW pernah bersabda : “ Demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman, demi Allah tidak beriman.
Sahabat bertanya : “Siapakah (yang tidak beriman itu) ya Rasulullah?”
Rasulullah SAW menjawab : ” Orang yang menyebabkan jirannya tidak merasa aman (selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim dalam hadis yang lain dinyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak masuk syurga, barangsiapa yang jirannya tidak merasa aman(selamat dan tenteram) lantaran kejahatannya.” (Riwayat Muslim)
3. Sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan menghormati mereka sebagai manusia.
4. Sentiasa mengambil berat dan bersimpati terhadap segala permasalahan yang sedang mereka hadapi sama ada yang berkaitan dengan masalah keagamaan, kekeluargaan atau rumah tangga, kesihatan,pelajaran, , kewangan, makan-minum, dan sebagainya. Sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia sesama jiran sehingga akhirnya melahirkan perhubungan kejiranan yang lebih mesra.
5. Menyayangi mereka seperti mana kita menyayangi diri kita sendiri. Oleh yang demikian kita hendaklah sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang menjadi kesukaan mereka, selagi tidak bertentangan dengan syariat agama dan sama-sama berusaha menghindarkan perkara-perkara yang mereka tidak sukai.
6.Sentiasa mewujudkan suasana kemesraan melalui usaha kenal-mengenal dan hormat menghormati antara satu sama lain. Antara caranya ialah dengan memulakan salam jika bertemu dengan sesama Muslim atau ucapan penghormatan yang baik jika bertemu dengan bukan Muslim. Sentiasa bertoleransi sama da yang melibatkan urusan keagamaan,adat resam, budaya, cara hidup dan lain-lain lagi.
7. Sentiasa memelihara diri agar tidak melakukan sebarang kesalahan dan kerosakan serta mencemar maruah dan diri jiran, termasuklah terhadap isterinya,anak-anaknya, harta bendanya dan lain-lain lagi.
8. Rasakan kesusahan jiran seperti kesusahan yang kita tanggung sendiri dan zahirkan kegembiraan ketika mereka bergembira, sama ada ketika mendapat rumah baru, kelahiran anak baru dan mendapat menantu.
9. Sentiasa bersabar di atas segala perlakuan buruk yang dilakukan oleh jiran, sebaik-baiknya kita hendaklah sentiasa bersedia untuk memaafkan segala kesalahan dan kesilapan dan tidak membalas segala kejahatan tersebut, sebaliknya membalasnya dengan kebaikan.
10.Jangan mudah terpengaruh dengan fitnah atau umpatan orang lain terhadap diri jiran tetangga kita.
No comments:
Post a Comment